Advertlets

Saturday, February 6, 2010

Kelebihan melabur dalam unit amanah:

Mengikut kemampuan
Ini merupakan kelebihan yang nyata sekali - tidak banyak kos diperlukan untuk melabur dalam dana amanah. Bagi pelaburan permulaan serendah RM1000, pelabur boleh membeli dana dan mendapat:

Kepelbagaian segera
Pelabur dalam unit amanah berpeluang menyertai lebih banyak sekuriti berbanding dengan pelaburan yang dibuat secara persendirian. Dengan modal yang sedikit, pelabur persendirian hanya mampu membeli sejumlah kecil saham dan terhad dalam beberapa syarikat sahaja. Tetapi apabila wang tersebut dilabur dalam dana unit amanah, dia akan memperoleh kepelbagaian segera - wangnya akan terkumpul bersama-sama wang pelabur lain dan menghasilkan modal yang banyak dan boleh digunakan untuk membeli saham lebih banyak syarikat disebabkan kuasa beli lebih besar.

Dengan kepelbagaian, risiko boleh dikurangkan. Kerugian di beberapa kaunter boleh diimbangi oleh keuntungan diperoleh di kaunter lain. Pelabur boleh terus mengurangkan risikonya dengan melabur dalam beberapa dana dan tidak terhad kepada satu dana sahaja.

Mudah tunai
Pembelian dan penjualan unit amanah lebih mudah berbanding melabur terus dalam saham sesebuah syarikat di mana harga dan peluang untuk membuat urus niaga bergantung kepada penawaran dan permintaan saham pada masa itu.

Pengurusan profesional yang berterusan
Unit amanah diuruskan oleh kumpulan profesional berpengalaman yang menguruskan dana secara teratur dan berdasarkan fakta berbanding pelabur individu yang mungkin membuat pelaburan secara rambang. Keputusan pelaburan yang diambil oleh pengurus dana dibuat berdasarkan penyelidikan meluas dan kemahiran melabur mereka sendiri, dan mereka akan terus mengawasi portfolio berdasarkan maklumat yang telah diselidiki.

Mengurangkan tekanan
Pelabur tidak perlu risau kerana tidak perlu mengawasi sendiri pelbagai pelaburan yang dibuat olehnya - mengawasi prestasi dan membuat keputusan bila hendak membeli atau menjual. Sebaliknya pelabur mempunyai kumpulan profesional yang berkemahiran menguruskan untuknya. Pemegang unit menerima laporan interim setiap enam bulan mengenai perkembangan dana mereka, perubahan pelaburan yang dibuat dan bayaran dividen, juga pendapat pengurus dana berhubung pasaran pelaburan dan ekonomi. Mereka juga menerima laporan tahunan.

Peluang memiliki aset kewangan lebih meluas
Pengurus dana unit amanah boleh menjual beli produk pelaburan yang biasanya tidak berpeluang didekati oleh pelabur individu, seperti bon kerajaan dan bon korporat, yang mungkin dihadkan kepada pelabur institusi sahaja. Sebahagian daripada produk ini diniagakan dalam jumlah besar, dan ini mengehadkan kemampuan pelabur individu walaupun mereka diberikan peluang tersebut.

Benefit compounding unit trust

Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan daripada 100 lelaki apabila tiba usia bersara, hanya seorang mempunyai situasi kewangan yang mantap, empat orang tidak menghadapi kerumitan kewangan, lima masih bekerja, 27 meninggal dunia dan 63 orang akan berada dalam kesempitan kewangan.

Sebuah kartun oleh Dave Craven, The Three Legs To Growing Rich mengandaikan kestabilan kewangan seperti bangku yang memerlukan tiga kaki untuk berdiri teguh.

Seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh tapi tidak membuat simpanan akan menghadapi masalah kewangan juga akhirnya. Begitu juga mereka yang membuat simpanan tapi tidak dimanfaatkan simpanannya dan yang gigih mengumpul wang. Manakala mereka yang membuat simpanan serta bijak melabur sahaja akan mendapat kestabilan kewangan apabila tiba hari tua kelak. Tiga faktor tersebut adalah sangat penting dalam perancangan untuk mendapatkan kebebasan daripada belenggu kewangan.

Amanah saham bukanlah perkara baru, ia bermula seawal tahun 1868 di

London menerusi Saham Amanah Kerajaan Kolonial dan Asing. Malaysia memperkenalkannya agak awal berbanding jiran-jiran negara Asia lain apabila satu amanah saham diperkenalkan oleh sebuah syarikat pada tahun 1959 iaitu `Malaysian Unit Trust Ltd’.

Kesungguhan kerajaan dalam konteks saham amanah jelas terbukti apabila pada tahun 1979 kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan amanah saham sebagai wahana untuk mencapai matlamatnya mengagihkan semula kekayaan negara di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menerusi skim amanah saham, kerajaan berusaha mencapai matlamat DEB menambah pegangan bumiputera dalam syarikat awam dan berhad kepada 30 peratus jumlah pemilikan ekuiti.

Maka pada tahun 1981 secara besar-besaran Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan amanah saham bumiputera yang pertama iaitu Amanah Saham Nasional (ASN).


Walaupun demikian adakah kita sebenarnya faham apakah keajaiban faedah kompaun yang ada pada konsep amanah saham? Adakah ia terletak pada dividen dan bonus di mana setiap kali kita mendapatnya, maka kita mempunyai lebihan wang untuk mengubahsuai rumah, menukar kereta atau pergi melancong.

Atau adakah setiap kali bonus dan dividen diagihkan, kita hanya mendapat sedikit daripada lebihan yang diperoleh setelah pihak bank awal-awal lagi telah menyedut sebahagian daripada keuntungan pelaburan kerana melabur melalui pembiayaan bank?

Kata seorang teman, “Jika tidak meminjam untuk melabur, sampai tua pun aku tak melabur.” Mengapa ini terjadi? Mungkinkah keistimewaan yang ada dalam amanah saham tidak begitu jelas kepada umum.

Pelabur yang bijak tidak melabur melalui pembiayaan bank atau mengeluarkan pengagihan yang diterima kerana jika berbuat demikian amanah saham telah lari dari konsep asal dan ia sedaya upaya perlu dielak.

Faedah kompaun ialah satu proses melipatgandakan wang melalui faedah yang ditawarkan. Hasilnya hanya akan dapat dilihat dengan jelas jika kita membuat pelaburan untuk jangka masa panjang dan secara berterusan.

Cuba bayangkan jika seruan kerajaan disahut pada 1981 dan kita beristiqamah melabur RM100 sebulan maka pada tahun 2020 hasilnya ialah kita akan memperoleh kira-kira RM2.4 juta pada ketika itu. Jumlah itu saya congak dari purata kadar faedah amanah saham swasta sebanyak 15 peratus setahun. Bukankah perbezaannya cukup besar jika dibandingkan dengan simpanan sebanyak itu dalam masa 39 tahun hanya RM46,800 dapat dikumpulkan.

Pada hari ini jika kita menggunakan hanya sedikit kebijaksanaan asas yang ada pada diri kita, melalui amanah saham kita akan dapat membuat lebih keuntungan dengan membuat pemindahan dari tabung bon ke tabung ekuiti atau sebaliknya berdasarkan keadaan pasaran.

Kadar kemeruapan yang rendah berbanding saham di bursa saham melalui arahan telefon tanpa komisen yang ditawarkan oleh pengurus-pengurus saham amanah perlu direbut dan dimanfaatkan secara bijaksana.

Masih terlalu ramai yang tidak jelas tentang kaedah pelaburan yang bijak walaupun ramai yang telah sedar tentang langkah bijak membuat pelaburan menerusi saham amanah.