Advertlets

Monday, November 16, 2009

Anugerah KLIFF 2009

Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd., Public Mutual Bhd. memenangi anugerah pengurus dana Islam terkemuka untuk tiga tahun berturut-turut pada majlis makan malam dan anugerah Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF). Anugerah kali keenam tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong menerima anugerah berkenaan yang diadakan di sini semalam.

Kim Hong bangga Public Mutual sekali lagi mendapat pengiktirafan yang berprestij itu. Katanya, anugerah ini merupakan anugerah ke-138 yang dimenangi oleh Public Mutual sejak tahun 1999. “Memenangi anugerah yang disanjung ramai ini membuktikan komitmen Public Mutual yang berterusan dalam memberi nilai yang tinggi serta memenuhi keperluan yang pelbagai untuk pemegang-pemegang unit kami,” katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemegang-pemegang unit atas sokongan dan keyakinan mereka yang berterusan terhadap Public Mutual.

Public Mutual merupakan pemimpin dalam sektor dana unit amanah Islam swasta di Malaysia. Pada 30 September 2009, syarikat tersebut menguruskan 24 dana Islam dengan jumlah aset Islam di bawah pengurusan syarikat sebanyak RM13.2 bilion. Ini merupakan 58.3 peratus bahagian pasaran sektor dana unit amanah Islam swasta.

Public Mutual juga merupakan syarikat saham amanah swasta terbesar di Malaysia, mengurus sebanyak 71 dana. Syarikat tersebut mempunyai lebih dua juta pemegang akaun yang diberi khidmat oleh 40,000 perunding saham amanah. Pada 30 September 2009, jumlah nilai aset bersih dana yang diuruskan oleh syarikat tersebut adalah sebanyak RM33.8 bilion.

No comments:

Post a Comment